Selepas hampir 500 tahun kejatuhan Empayar Melaka, manuskrip pertama yang menyenaraikan lakaran pelbagai jenis keris termasuk keris legenda ‘Taming Sari’ berjaya ditemui.
Manuskrip dipercayai berusia 250 tahun itu ditemui seorang pengkaji sejarah, Wan Ahmad Arshad, 41, di Terengganu kira-kira tiga bulan lalu.
Menurutnya, dia mengambil masa tiga bulan untuk membuat kajian dan menterjemah kandungan manuskrip setebal 33 muka surat itu.
“Ada 27 lakaran pamor atau bahagian tepi bilah keris disenaraikan dalam manuskrip itu termasuk Taming Sari dan keris milik Hang Jebat.
“Berdasarkan penelitian dan perbandingan, saya dapati lakaran Taming Sari itu menyamai keris dalam simpanan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, penemuan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa Hang Tuah tidak wujud kerana senjata yang mempunyai kaitan dengan pahlawan itu disenaraikan dalam manuskrip yang berkisar keagamaan.
“Manuskrip ini berkisar mengenai pengajaran dan amalan tarekat Syadzilliah yang diasaskan As Sheikh Abu Hassan Al-Shazilli di Mesir pada kurun ke-13.
“Ia juga banyak memfokuskan kepada ilmu hikmat dan amalan perang termasuk zikir Hizbulbahar,” katanya.
Pengusaha Galeri Pusaka Moyang itu berkata, pada bahagian bawah lakaran keris itu tertera ayat ‘keris Hang Tuah, sebuah negeri atau sebelah negeri harganya, cerita Taming Sari’ manakala satu lagi lakaran tertera ayat ‘Hang Jebat, sebelah negeri harganya, cerita pengkarang harganya’.
“Berdasarkan kajian, pamor keris diperbuat daripada nikel untuk meresap racun supaya senjata itu lebih berbisa,” katanya.
Wan Ahmad berkata, sebelum ini, wujud pelbagai versi mengenai Taming Sari dan ada juga yang menganggap ia sekadar legenda.
“Dengan penemuan ini, ia membuktikan secara bertulis bahawa Hang Tuah dan saudaranya memang wujud,” katanya.
Wan Ahmad sebelum ini pernah mendakwa memiliki senaskhah al-Quran milik pahlawan Melayu itu yang berusia lebih 600 tahun yang ditemui dirumah moyangnya di Perak.
Menurutnya, al-Quran itu diperoleh Hang Tuah ketika ke Rom yang diperintah Empayar Uthmaniah bagi mempelajari ilmu bedil (meriam) dankini disahkan berusia 697 tahun seperti tercatat dalam sijil kesahihannya.
Katanya, pemergian Hang Tuah ke Rom itu atas perintah Sultan Mansor Syah dan semua itu tercatat dalam Sejarah Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan