Isnin, 28 Jun 2010

Politik, Pilihan Raya Dan Kakitangan Kerajaan


Apabila dikaitkan politik, pilihan raya dan kakitangan Kerajaan, kita sering dihidangkan dengan kata-kata manis berupa jaminan bahawa sekiranya pilihan raya diadakan di kawasan yang majoritinya didiami kakitangan Kerajaan maka kawasan tersebut merupakan kawasan selamat BN. Adakah kenyataan tersebut mempunyai kebenaran?


Saya adalah merupakan salah seorang kakitangan Kerajaan di peringkat bawahan. Urusan kerja telah membawa saya ke seluruh negara untuk melawat pejabat Kerajaan Persekutuan. Lawatan kerja yang saya lakukan melibatkan peringkat ibu pejabat negeri hinggalah ke stesen-stesen kecil yang terletak di daerah-daerah.

Hasil daripada pemerhatian yang saya buat, saya berpendapat majoriti kakitangan Kerajaan sebenarnya adalah penyokong pembangkang. Kakitangan bawahan dilihat lebih percayakan berita dan maklumat daripada media pembangkang daripada maklumat dari media arus perdana. Manakala kakitangan atasan pula sering menyalahkan tangan-tangan ghaib yang juga diistilahkan sebagai wahyu apabila melibatkan kesilapan tadbir urus dalam jabatan yang mereka telah dipertanggungjawabkan.

Di peringkat pusat pula, daripada pengalaman saya sendiri di Putrajaya didapati kakitangan bawahan yang menyokong pembangkang adalah lebih vokal berbanding mereka yang menyokong Kerajaan yang seolah-olah takut diketahui bahawa mereka adalah penyokong Kerajaan. Bagi kakitangan atasan pula lebih menjelikkan lagi. Ketika berbual sesama sendiri berdegar-degar mereka kutuk hampir semua keputusan Kerajaan tetapi apabila berdepan dengan Menteri, KSU atau Ketua Jabatan, merekalah pembodek nombor satu.

Adakah dasar Kerajaan yang terlalu terbuka dengan mengambil kakitangan tanpa mengira langsung latarbelakang politik menjadi punca semua ini berlaku? Atau adakah benar terdapat suara-suara ghaib atau wahyu yang mengarahkan perkara-perkara yang tidak mematuhi peraturan dilaksanakan?

Bayangkan jika mereka ini balik ke kampung dan menceritakan tentang keburukan Kerajaan tanpa mengira cerita yang mereka bawa berasas atau tidak kepada orang-orang kampung. Tentu senang untuk mempengaruhi orang kampung kerana mereka adalah Kakitangan Kerajaan terutamanya yang bertugas di Putrajaya.

Harap-harap pendapat saya ini adalah tidak betul sama sekali.

FIKIR-FIKIRKAN..

JANGAN MARAH..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan